BICARA KATA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Syukur Alhamdulillah dengan limpah kurniaNya, saya dapat berkongsi sedikit pengetahuan berkaitan Teknologi kimpalan. Matlamatnya adalah untuk memupuk minat dan kecenderungan pelajar di Kolej Vokasional, Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan kemahiran dan pelajar universiti menjadikan bidang Teknologi kimpalan sebagai profesion. Mudahan Sedikit sumbangan ini dapat membantu anda memperoleh pengetahuan, mengetahui dan memahami fakta, konsep/prinsip, terminologi, proses dan prosedur kimpalan. Saya juga mengalu-alukan komen dan ulasan yang membina bagi meningkatkan kualiti artikel yang ditulis di Blog ini.
Terima kasih
Ts Tuan Mohamad Zaidi

Wednesday, February 20, 2013

PEMOTONGAN OKSIASETILENA

Prinsip Pemotongan
Pemotongan oksiasetilena menggunakan prinsip pengoksidaan yang terjadi hasil tindak balas antara logam ferus yang diprapanaskan  dan oksigen tulen.  Logam yang akan dipotong akan diprapanas pada suhu 700ºC hingga 900ºC di bawah takat lebur. Suhu yang sesuai boleh dikenalpasti apabila logam berubah  menjadi  warna  merah ceri.  Logam ferus yang  diprapanas mula  dioksidakan  setelah  jet oksigen tulen dipancutkan diatasnya.  Semburan oksigen tulen tersebut akan mengalirkan ferus oksida cair kebahagian bawah potongan.  Kesan ferus oksida yang terlekat bahagian bawah logam yang dipotong dipanggil ferus oksida atau sangga.

Gambarajah  :  Prinsip pemotongan oksiasetilena
Jenis Gas
Bagi mendapatkan haba yang sesuai untuk memotong logam, dua campuran gas iaitu gas oksigen dan asetilena digunakan.  Selain gas asetilena gas bahan api lain yang boleh digunakan bersama oksigen ialah gas butana, gas asli, gas hidrogen,  gas propana dan gas propadiana (Mapp). 

Kelengkapan Pemotongan
Kelengkapan  dan kelengkapan tambahan (aksesori) pemotongan adalah hampir sama dengan kelengkapan kimpalan oksiasetilena.  Perbezan antara kelengkapan memotong dan mengimpal ialah bahagian Sumpitan api (Torch) dan muncung sumpitan api (Tip). 
Sumpitan api pemotong terdiri daripada bahagian badan, tiub oksigen, tiub prapanas, tuil tekanan injap oksigen pemotong, injap kawalan oksigen, injap kawalan asetilena dan kepla sumpitan.


gambar foto: Muncung sumpitan api pemotong yang
telah dipasang pada kepala sumpitan

Muncung Sumpitan api pemotong
Muncung sumpitan api pemotong mempunyai satu orifis jet oksigen pada bahagian tengah serta dikelilingi enam orifis prapanas. Bagi mendapatkan hasil potongan berkualiti, pemilihan saiz muncung sumpitan mestilah sesuai dengan ketebalan logam yang akan dipotong.
Saiz muncung sumpitan api pemotong diukur berdasarkan dimeter orifis jet oksigen.
    
Nyalaan Pemotongan Oksiasetilena
Nyalaan pemotongan  akan  terhasil dengan melaras  injap kawalan  gas asetilena dan injap kawalan oksigen yang terdapat pada badan sumpitan api pemotong.  Tiga jenis nyalaan yang mungkin terhasil semasa melaras injap kawalan ialah nyalaan pengabon, nyalaan pertengahan dan nyalaan pengoksidaan.

 Gambar foto: Nyalaan Pengabon terhasil apabila pelarasan gas asetilena
terlebih dari gas oksigen

Gambar foto: Nyalaan Pertengahan terhasil sekiranya pelarasan
 gas oksigen dan asetilena seimbang

Gambar foto: Nyalaan Pengoksidaan terhasil sekiranya pelarasan 
 gas oksigen terlebih dari gas asetilena
Nyalaan pertengahan sesuai digunakan untuk pemotongan logam dan akan menghasilkan pemotongan yang berkualiti.

Proses Pemotongan
Proses pemotongan dengan mendirisiap kelengkapan pemotongan dan melaras nyalaan pertengahan. Logam yang hendak dipotong hendaklah ditanda garisan panduan pemotongan terlebih dahulu supaya bahagian yang  dipotong  menepati ukuran  yang dihendaki.Selepas proses tandaan selesai tetapkan kedudukan logam  yang akan dipotong.                                                                                                                                   
Proses Prapanas 
Lakukan proses prapanas di bahagian penjuru  permulaan garisan panduan sehingga warna bahagian tersebut berubah menjadi  warna merah ceri.  Tekan tuil jet oksigen tulen  untuk memotong logam                                                        
Pastikan sudut muncung sumpitan api pemotong sentiasa berkedudukan 90º dengan jarak muncung antara 2mm hingga 3mm.  Gerakkan muncung sumpitan di sepanjang garisan panduan pemotongan dengan cara menolak kehadapan, menarik kebelakang atau bergerak dari kanan ke kiri mengikut keadaan kedudukan logam.
    
Lakukan kerja pemotongan sehingga selesai dan bersih hasil potongan dengan membuang ferus oksida yang mungkin terlekat pada bahagian penjuru  bawah logam yang dipotong.  

Nota: Bahagian tepian lurus pada besi bersudut boleh dijadikan sebagai alat panduan meknikal bagi memastikan hasil pemotongan lurus.

Pemotongan Bulat
Pemotongan bulat menggunakan proses pemotongan oksiasetilena  boleh dilakukan secara automatik, semi automatik atau secara manual. untuk pemotong secara manual penggunaan jejari bar boleh digunakan untuk memastikan tepian pemotongan bersegi tepat, muka potongan rata dan dimeter projek adalah sekata. 
Gambar foto: Proses pemotongan bulat
Proses Pemotongan

Gambar foto: Menggerakkan muncung sumpitan
 disepanjang garisan panduan hingga selesai proses pemotongan
  • Menanda titik pusat dan  garisan panduan pemotongan menggunakan jangka tolok. 
  • Melaras jarak jejari bar berdasarkan dimeter potongan yang dikehandaki
  • Melaras nyalaan pertengahan dan meletakkan muncung sumpitan pada pemegang muncung bar jejari. Jarakkan ketinggian antara muncung sumpitan dengan permukaan logam antara 8-10mm. lakukan proses pra panas
  • Apabila logam bewarna merah ceri, tekan tuil dengan sudut muncung dicondongkan sedikit kearah garisan panduan pemotongan bertujuan untuk mengelakkan tiupan logam berbalik ke muncung sumpitan api.
  • Apabila nyalaan pemotongan menembusi logam, tegakkan dan rendahkan jarak muncung sumpitan api   sehingga jarak antara kon nyalaan dan permukaan logam 2 mm hingga 3 mm.
Gambar foto: Proses pemotongan selesai

Gerakkan muncung sumpitan kebelakang disepanjang garisan panduan pemotongan. Sesuaikan kelajuan pemotongan dengan ketebalan bahan yang dipotong. Potong hingga selesai dan bersihkan hasil potongan.
Hasil Pemotongan yang Berkualiti

Rajah: Ciri pemotongan yang berkualiti

Ciri pemotongan berkualiti
  • Penjuru atas bersegi tepat
  • Permukaan potongan licin atau hampir licin.
  • Penjuru bawah juga bersegi tepat
  • Tiada sangga atau jika ada mudah ditanggalkan

No comments: