BICARA KATA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Syukur Alhamdulillah dengan limpah kurniaNya, saya dapat berkongsi sedikit pengetahuan berkaitan kejuruteraan kimpalan. Matlamatnya adalah untuk memupuk minat dan kecenderungan anak-anak pelajar di Kolej Vokasional, SMT/V, Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan kemahiran dan pelajar universiti menjadikan bidang kejuruteraan kimpalan sebagai profesion dimasa hadapan. Saya mengambil inisiatif ini memandangkan kesukaran mendapat bahan rujukan berkaitan kejuruteraan kimpalan dalam bahasa Malaysia. Mudahan Sedikit sumbangan ini dapat membantu anda memperoleh pengetahuan, mengetahui dan memahami fakta, konsep/prinsip, terminologi, proses dan prosedur kimpalan. Saya juga mengalu-alukan sumbangan artikel berkaitan serta komen dan ulasan yang membina bagi meningkatkan kualiti artikel yang ditulis di Blog ini.
Terima kasih
chekguzaidi

Monday, February 20, 2012

PANDUAN AMALAN PERSEKITARAN BERKUALITI (5S)

APA ITU 5S?
5S mula diperkenalkan oleh syarikat-syarikan di Negara Jepun pada awal 80an. Amalan 5S merupakan satu kaedah pengurusan yang diperkenalkan bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, selamat, selesa  dan berkualiti. Di Malaysia konsep 5S telah diperkenalkan kepada syarikat multi nasional pada pertengahan 80an. Ada syarikat yang mengamalkan 5S telah mendapat pengiktirafan menerusi persijilan dari Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).  Kini amalan 5S telah dilaksanakan secara meluas dalam sektor awam seperti, Majlis Kerajaan Tempatan, JKR, Hospital, JPA, Universiti serta sekolah  Vokasional/Teknik/Kolej Vokasional dan lain-lain lagi. 
         Amalan 5S merupakan teknik pengurusan yang berkesan bagi mewujudkan budaya peningkatan yang berterusan atau disebut sebagai "KAIZEN" dalam bahasa Jepun. 'KAIZEN' adalah kaedah pembaikan secara berterusan sedikit-demi sedikit terutama aktiviti-aktiviti berkaitan  pengurusan sumber manusia dan proses. Amalan 5S hanya akan berjaya dengan komitmen seluruh ahli sesebuag organisasi. 5S diambil dari huruf 'S' diawalan perkataan bahasa jepun iaitu Seiri (Sort;Sisih), Seiton (Set In Order; Susun), Seiso (Shine; Sapu), Seiketsu (Standardise; Seragam), Shitsuke (Sustain; Sentiasa Amal).
Gambar foto: Keadaan pejabat yang tidak tersusun memerlukan amalan 5S 
MENGAPA PERLU AMALAN 5S?
Amalan 5S merupakan alat atau kaedah alternatif yang terbukti dapat mengatasi kejadian-kejadian yang menggambarkan keadaan kucar kacir, ketidak cekapan yang boleh menjejaskan kualiti kerja atau perkhidmatan.

 Mungkinkan situasi ini pernah  berlaku kepada anda atau organisasi anda?
  • Anda mengambil masa yang lama untuk mencari peralatan, perkakas, alat tulis dan sebagainya.
  • Orgaisasi anda kehabisan stok barangan, alat ganti atau  bahan yang penting apabila hendak menggunakannya.
  • Mendapati mesin atau peralatan rosak apabila hendak menggunakanya.
  • Kehilangan peralatan, fail, dokumen disebabkan tersalah letak atau orang lain meminjam tanpa dikesan.
  • Orang lain terpaksa menunggu sehingga kita balik dari kerja luar disebabkan beberapa fail tersimpan/terkunci dalam laci dibawah kawalan kita.
  • Mengalami kesukaran atau mengambil masa yang lama untuk memindahkan sesuatu barang ketempat lain didalam pejabat anda.
KEPENTINGAN 5S KEPADA ORGANISASI
   Amalan 5S adalah alat kepada peningkatan kualiti dan prokdutiviti yang berkesan kerana: 
  1. Mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, selamat dan berkualiti.
  2. Kejelasan hasil kebersihan kekemasan dan keselamatan
  3. Operasi ditempat kerja lebih mudah, cepat dan selamat.
  4. Lebih banyak idea yang krestif dan inovatif diketengahkan dalam penyelesaian masalah atau penambahbaikan.
  5. Melahirkan pekerja yang berdisiplin dan beretika serta prestasi kerja yang lebih baik.
  6. Membina budaya kerja yang cemerlang.
  7. Meningkatkan imej organisasi.
BAGAIMANA MELAKSANAKAN 5S?

SEIRI - SISIH
Bermaksud mengasing dan membuang benda yang tidak diperlukan di tempat kerja. Bagaimana anda melakukan SEIRI?. Anda perlu menyenaraikan barangan/dokumen  yang diperlukan atau tidak diperlukan.  Tandakan dengan tag supaya orang lain dapat melihat barangan yang perlu dilupuskan atau dialihkan. Hanya barangan yang diperlukan sahaja dikekalkan ditempat kerja anda. Anda digalakkan melantik orang yang tidak terlibat secara langsung ditempat kerja atau mesin untuk memasang tag bewarna merah yang menandakan mesin tersebut perlu dialihkan/dilupuskan. Kesimpulannya;
  • Barangan yang tiada nilai hendaklah segera dibuang
  • Barangan yang masih bernilai boleh disisih dengan cara menjualkanya.
SEITON - SUSUN
Bermaksud menyusun barang-barang yang diperlukan dengan teratur supaya mudah diambil apabila diperlukan. Bagaimana  anda melakukan SEITON. Barang yang diperlukan hendaklah disusun pada tempat yang ditetapkan. 

Anda perlu menetapkan tempat yang sesuai mengikut jenis bahan/benda, saiz dan bilangan minimum/maksimum. Mesin pula memerlukan  grid kawasannya sendiri yang perlu dikelilingi tanda garisan kuning. Panduan menyusun adalah seperti berikut;
  • Barangan yang kerap digunakan hendaklah diletakkan ditempat berhampiran.
  • Barangan yang jarang digunakan bolehlah disusun ditempat yang sedikit berjauhan.
  • Barang yang tidak digunakan langsung tetapi mesti disimpan hendaklah diasing dan ditandakan dengan jelas.
  • Pastikan barangan yang telah disusun senang dicari, diambil dan disimpan kembali.
  • Barangan yang besar dan berat diletakkan di bahagian bawah.
  • Barangan yang mudah terbakar diletakkan berasingan
  • Barangan dan tempatnya hendaklah mempunyai tanda pengenalan (menggunakan tanda adalah lebih baik dari nombor)
SEISO - SAPU
Bermaksud  membersihkan secara menyeluruh tempat kerja sehingga tiada habuk. Bagaimana anda melakukan SEISO?. Semua pekerja dilibatkan dalam proses ini. Pelan tanggung jawab, zon, jadual dan aktiviti pembersihan hendaklah dinyatakan dengan jelas dan dipamirkan ditempat yang mudah dilihat. Aktiviti pembersihan hendaklah dijadikan habit setiap pekerja  dengan melakukannya selama 5 hingga 10 minit setiap hari. Bahagian yang perlu dibersihkan termasuklah;
  • Membersihkan semua persekitaran tempat kerja termasuk lantai, meja, mesin, peralatan dan semua sudut yang tersembunyi.
  • Memastikan mesin dan peralatan yang digunakan bebas dari habuk atau sebarang kekotoran
  • Mengadakan hari gotong royong membersihkan kawasan/bahagian  secara besar-besaran.
  • Bahagian tumpuan pembersihan ialah kawasan penyimpanan peralatan dan persekitaran.
Gambar foto: Aktiviti seiso boleh dimulakan dengan gotong royong pembersihan
SEIKETSU - SERAGAM
Bermaksud sentiasa memelihara standard penjagaan kebersihan dan pengeloaan tempat kerja. Mewujudkan piawaian amalan terbaik di tempat kerja dan memastikan piawaian tersebut dipatuhi di samping memastikan tempat kerja itu bersih dan teratur sepanjang masa.  3 prinsip seiketsu iaitu 
  • Tiada barangan yang tidak diperlukan
  • Tiada bersepah
  • Tiada kekotoran.
SHITSUKE - SENTIASA AMAL
Bermaksud membudayakan amaln sistem  amalan 4S iaitu sisih, susun, sapu dan seragam secara berterusan supaya menjadi tabiat  dan budaya kerja berkualiti  dalam organisasi. Amalan shitsuke memerlukan kefahaman dan disiplin yang tinggi dikalangan pekerja serta mematuhi panduan dan piawaian yang telah ditetapkan.  Amalan shitsuke perlu disemai dalam diri setiap individu dengan memberi bimbingan dan  latihan secara berkala.


PANDUAN MENGEKALKAN AMALAN  5S
  • Meneruskan program kesedaran kepentingan amalan 5S 
  • Memastikan audit dalaman amalan 5S dilakukan mengikut jadual
  • Aktiviti  promosi  yang berterusan
  • Mewujudkan sistem pengiktirafan dan penghargaan diatas usaha yang dilakukan oleh warga kerja dalam organisasi.
  • Mewujudkan sistem pementauan yang efektif dan sistematik

4 KUNCI KEJAYAAN AMALAN 5S
  1. Kesungguhan dan sokongan berterusan dari pihak pengurusan
  2. Melaksanakan 5S bermula dari pendidikan, latihan dan amalan berterusan
  3. Tiada pemerhati dalam 5S. Semua orang terlibat dan bertanggungjawab melaksanakanya.
  4. Sentiasa mengulangi putaran 5S secara berterusan untuk mencapai standard yang lebih tinggi.
PENUTUP
Konsep amalan 5S memerlukan pengetahuan, disiplin  komitmen yang tinggi  dari semua warga sesebuah organisasi. Amalan 5S dapat memupuk  semangan kerja berpasukan, disiplin diri dan dapat meningkatkan rasa tanggungjawab serta sayang kepada organisasi.  Amalan 5S juga dapat mewujudkan persekitaran kerja yang produktif, bersihdan selamat.

    Thursday, November 10, 2011

    KIMPALAN ARKA LOGAM GAS LENGAI (MIG)

    PENGENALAN
         Kimpalan Arka Logam gas atau Gas Metal Arc Welding (GMAW) dikenali juga sebagai Kimpalan Arka Logam Gas Lengai atau Metal Arc Welding (MIG) Kimpalan MIG digunakan secara meluas dalam industri kerana mudah dikendalikan serta boleh mengimpal berbagai jenis logam dan berbagai ketebalan logam. Kimpalan MIG banyak digunakan dalam industri pembuatan, industri automotif termasuk industri aeronautik. selain keluli karbon, kimpalan MIG juga boleh digunakan untuk mengimpal aluminium dan keluli kalis karat (Stainless steel). Elektrod kimpalan MIG dibekalkan dalam bentuk  gelungan dawai berbeza dengan elektrod kimpalan yang lain yang dibekalkan secara batang atau rod.
    Gambar foto: Mesin Kimpalan MIG
    PRINSIP ASAS KIMPALAN  MIG
         Dalam kimpalan MIG, arka elektrik terbentuk apabila hujung dawai elektrod bersentuhan dengan logam asas.  Arka menghasikan haba yang akan meleburkan logam asas dan hujung elektrod.  Leburan elektrod san logam asas bercampur membentk kolam leburan dan sebati apabila sejuk untuk menghasilkan kumai kimpalan. Dawai elektrod tanpa salutan dibekalkan berterusan (dalam bentuk gelungan) melalui unit suapan dawai.  Bekalan gas lengai melindungi arka dan kolam leburan daripada udara atmosfera.


    MESIN KIMPALAN DAN AKSESORI
    Antara bahagian dan fungsi bahagian mesin kimpalan:-


    PANEL KAWALAN
    Panel kawalan menempatkan tombol pelaras untuk melaras keluaran dawai elektrod dan gas pelindung.  Pelaras arus dan voltan juga terdapat pada panel kawalan.

    Gambar foto: Panel kawalan mesin kimpalan MIG

    PEMEGANG SUMPITAN (GUN) 
    Pemegang sumpitan atau "gun" berfungsi menghantar dawai elektrod, gas pelindung dan arus ke kawasan kimpalan. Terdapat suis untuk memula dan memutuskan arka, memutuskan bekalan gas pelindung dan elektrod kimpalan. 
    Gambar foto : Pemegang sumpitan Kimpalan MIG (gun)
    MUNCUNG KIMPALAN 
    Muncung sumpitan menetapkan dawai elektrod dan gas lengai ke kawasan kimpalan. Ia diperbuat dari keluli kalis karat dan boleh ditanggalkan dari sumpitan. 
    Gambar foto : Muncung  kimpalan MIG
    Terdapat dua jenis muncung sumpitan iaitu muncung sumpitan penyejukkan udara dan muncung sumpitan penyejukkan air. Muncung sumpitan penyejukkan udara digunakan untuk melakukan kerja ringan dengan arus kurang daripada 200 ampere, manakala muncung sumpitan penyejukkan air digunakan untuk kerja-kerja berat dengan arus yang digunakan melebihi 300 ampere. 
    Terdapat dua jenis mekanisma suapan dawai digunakan dalam muncung sumpitan iaitu jenis tolak dan jenis tarik. Semasa mengimpal, penelitian hendaklah dibuat pada bahagian muncung sumpitan terutama bahagian orifis, nozel dan cip yang mungkin terdapat percikan yang melekat sehingga memenuhi nozel yang akan menganggu kelancaran proses mengimpal.
    Gambar foto: Spray dan gel anti lekatan percikan lampau
    Semburan gel anti lekatan kepada bahagian muncung sumpitan akan menyebabkan lekatan percikan mudah ditanggalkan.


    UNIT SUAPAN DAWAI ELEKTROD
    Motor dalam unit suapan dawai secara automatik menghulur dawai elektrod dari gulungan dawai kepada muncung sumpitan arka. Pelbagai kelajuan keluaran dawai boleh dibuat  dengan melaras suis pada panel kawalan.Terdapat dua suapan dawai yang dibina dalam punca kuasa atau sebagai satu unit yang berasingan dari mesin kimpalan. Unit berasingan sesuai digunakan  untuk mengimpal di kawasan yang luas.
    Gambar foto : Unit suapan dawai berasingan


    SILINDER DAN GAS LENGAI
    Gas lengai yang digunakan dalam kimpalan MIG ialah gas argon, gas helium, gas campuran argon dan helium serta gas karbon dioksida. 


    PELARASAN PANEL KAWALAN, PENGATUR dan METER ALIR SERTA KENDALIANYA                                                                                      
    Pengaliran gas lengai dari silinder ke kawasan kimpalan dilaras oleh panel kawalan, pengatur dan meter alir.Gas lengai terus mengalir keluar untuk  Melindungi kawasan kawah leburan Kimpalan walaupun suis pemetik pada muncung sumpitan telah di "OFF" apabila proses kimpalan berhenti. Jangka masa keluaran gas ini dilaras pada panel  kawalan mesin kimpalan MIG.  Pengatur silinder gas lengai mengandungi tolok tekanan yang menunjukkan tekanan gas.  
    Gambar foto: Pengatur dan meter alir
    Pelarasan tombol pada pengatur ini akan menentukan tekanan gas yang keluar dari silinder. Kadar pengaliran gas ke kawasan kimpalan diukur dalam unit liter per minit.  Kadar keluaran ini dilaras dengan memutarkan tombol pelaras pada meter alir.  Bebola akan terapung dalam tiub kaca bermeter untuk menunjukkan kadar aliran gas yang keluar.

    Thursday, September 29, 2011

    PENGIKTIRAFAN PENCAPAIAN TERDAHULU (SKM)

    Gambar Foto : Keindahan Pulau Langkawi 
    LANGKAWI - 24 September
         Seramai 40 orang guru dari SM Vokasional SHAS dan SM Vokasional Langkawi telah mengikuti kursus induksi pentauliahan persijilan Kemahiran Malaysia tahap 3 berdasarkan Pengiktirafan pencapaian terdahulu (PP-PPT).Kursus Induksi yang dianjurkan secara bersama Persatuan Guru Vokasional dan Teknik diadakan selama 2 hari di Baron Resort Langkawi. Antara modul kursus ialah proses mambangunkan Portfolio Pencapaian Terdahulu. Kaedah PPT merupakan pengiktirafan dari pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran  kepada guru-guru kemahiran yang telah berpengalaman mengajar lebih dari 4 tahun. 
    Gambar foto: Peserta kursus PPT di Baron Resort.


    Gambar foto: Peserta dari SM Vokasional Langkawi
    Objektif kursus dilaksanakan ialah supaya peserta dapat memahami syarat-syarat dan proses PPT, mengenalpasti keperluan NOSS, membangunkan Portfolio Vocational Trainning Officer (VTO), Vocational Trainning Executive (VTE) dan Vocational Trainning Manager (VTM) secara fast track. 
    Kursus membangunkan portfolio berdasarkan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) dikendalikan oleh Seri Pagi Enterprise sebuah  syarikat yang telah ditauliah oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran.  Adalah diharapkan semua peserta dapat menyiapkan Portfolio tahap 3 dan memperolehi  Sijil Kemahiran Malaysia serta VTE atau VTM dengan jayanya. Semoga krusus ini juga dapat dimanfaatkan sebaik mungkin selari dengan transformasi pendidikan Vokasional yang akan menjadi Kolej Vokasional menjelang 2013. 
    Gambar foto: Diantara peserta Kursus sedang mendengar taklimat PPT
    Lagi gambar

    Gambar foto: Pemandangan dari puncak gunung Mat Cincang Pulau Langkawi


    Gambar foto: Singgah di  Shell petrol station (Ringlet Cameron Highland)


    Gambar foto:  Buah tangan untuk isteri  "pingan corelle"