BICARA KATA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Syukur Alhamdulillah dengan limpah kurniaNya, saya dapat berkongsi sedikit pengetahuan berkaitan kejuruteraan kimpalan. Matlamatnya adalah untuk memupuk minat dan kecenderungan anak-anak pelajar di Kolej Vokasional, SMT/V, Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan kemahiran dan pelajar universiti menjadikan bidang kejuruteraan kimpalan sebagai profesion dimasa hadapan. Saya mengambil inisiatif ini memandangkan kesukaran mendapat bahan rujukan berkaitan kejuruteraan kimpalan dalam bahasa Malaysia. Mudahan Sedikit sumbangan ini dapat membantu anda memperoleh pengetahuan, mengetahui dan memahami fakta, konsep/prinsip, terminologi, proses dan prosedur kimpalan. Saya juga mengalu-alukan sumbangan artikel berkaitan serta komen dan ulasan yang membina bagi meningkatkan kualiti artikel yang ditulis di Blog ini.
Terima kasih
chekguzaidi

Tuesday, February 19, 2013

PENGURUSAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN DI TEMPAT KERJA (BAHAGIAN II)

1.0 Pengenalan
Pengubalan peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA) berkonsepkan pengaturan kendiri. Tanggungjawab mempastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah terletak  kepada pihak yang mewujudkan risiko ditempat kerja iaitu pihak majikan dan pihak yang bekerja dengan risiko tersebut iaitu pihak pekerja.  Pengalaman dalam industri pengilangan menunjukkan isu keselamatan dan kesihatan ditempat kerja boleh diatasi secara berkesan dengan melibatkan pihak majikan dan pekerja  dalam proses pembangunan dan pelaksanaan program yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Kaedah melibatkan pekerja secara langsung ialah melalui penubuhan  jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diwakili pihak majikan dan pihak pekerja.

2.0  Peruntukan Undang-undang
Seksyen 30 akta keselamatan dan kesihatan pekerjaan 1994 menghendaki setiap majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya 40 orang pekerja atau sekiranya diarahkan oleh pihak Ketua  Pengarah keselamatan dan kesihatan pekerjaan mesti  menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di tempat kerja tersebut. Akta juga menghendaki majikan dan pekerjanya bekerjasama dalam membangun,  menggalakan dan penilaian keberkesanan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan ditempat kerja.

3.0  Objektif penubuhan
Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan adalah untuk mewujudkan saluran komunikasi dalam penyampaian maklumat berkaitan isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan.  Pihak majikan dan pekerja akan bekerjasama dalam mengenalpasti , membangun program, menilai dan mengambil tindakan sewajarnya bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

4.0   Fungsi jawatankuasa
Dua fungsi utama Jawatankuasa adalah seperti berikut:

  • Sentiasa mengkaji langkah-langkah perlu  untuk memastikan keselamatan dan kesihatan orang-orang ditempat kerja.
  • Menyiasat isu berkaitan  keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang dianggap tidak selamat atau sihat oleh anggota jawatankuasa atau pekerja dan  dibawa untuk perhatian pihak majikan
Selain dua fungsi yang diperuntukan oleh akta, fungsi lain juga harus dilaksanakan oleh pihak jawatankuasa.

  1. Melaksanakan kajian berkaitan trend dan statistik kemalangan, penyakit, keracunan dan kejadian berbahaya yang lain dan mengemukakan cadangan  kepada pihak majikan untuk langkah pengawalan.
  2. mengkaji semula dasar keselamatan dan kesihatan ditempat kerja, dan mengemukakan cadangan langkah penambahbaikan kepada pihak majikan.
  3. Melakukan pemeriksaan secara berkala di tempat kerja untuk mengenalpasti bahaya-bahaya atau tindakkan berbahaya pekerja ditempat kerja. Hasil pemeriksaan dikemukakan kepada pihak majikan untuk tujuan tindakan penambahbaikkan.
  4. Membuat siasatan segera jika berlaku kemalangan, penyakit pekerjaan, keracunan atau kejadian berbahaya yang berlaku ditempat kerja seterusnya melaporkan kepada pihak majikan untuk tindakan mengatasinya.
  5. Menyiasat aduan dan membuat laporan kepada majikan serta mencadangkan langkah-langkah yang dikenalpasti boleh menghapus atau mengurangkan keadaan tidak selamat ditempat kerja.
  6. Membantu melaksanakan program-program galakkan dan pendidikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan ditempat kerja.
  7. Membincangkan laporan dan maklumat  oleh pegawai keselamatan (SHO), pihak penguatkuasa undang-undang dan juru audit luaran juka ada.
Skop dan aktiviti jawatankuasa adalah luas dan fungsi-fungsi Jawatankuasa bolehlah ditambah jika berkait langsung dengan pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

5.0  Anggota jawatankuasa
Keanggotaan jawatankuasa adalah seperti berikut

  1. Pengerusi
  2. Setiausaha
  3. Wakil pengurusan dan
  4. Wakil pekerja
  • Jawatan pengerusi sebaiknya adalah dari pihak majikan samada pengerusi pengarah syarikat atau pegawai kanan yang mempunya pengetahuan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan . Tujuannya adalah untuk mempastikan keputusan dapat dibuat dengan segera mengenai isu atau cadangan yang dibuat.
  • Setiausaha boleh dilantikan dari ahli jawatankuasa. Sekiranya organisasi mempunyai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, adalah wajar beliau dilantik untuk melicinkan pelaksanaan mesyuarat dan melancarkan aktiviti jawatankuasa termasuk menjadi pakar rujuk kepada ahli lain . Setiausaha juga berperanan memberi notis mesyuarat, menyediakan agenda, menyediakan minit dan lain-lain. 
  •  Wakil pengurusan bolehlah dipilih dari kalangan mereka yang mempunyai tanggungjawab mengurus atau menyelia kakitangan dibawahnya. Ini termasuklah bahagian operasi yang terlibat secara langsung keatas pengeluaran khidmat, produk organisasi atau  wakil pengurusan sokongan.
  • Wakil pekerja boleh dipilih dikalangan pihak pekerja
Bilangan ahli Jawatankuasa bergantung kepada struktur organisasi atau syarikat tersebut.  Sebagai panduan bagi organisasi yang mempunyai pekerja tidak melebihi 100 orang, jumlah ahli bolehlah 2 orang dari pihak majikan, 2 orang wakil pekerja tidak termasuk Pengerusi dan setiausaha. Bagi organisasi yang lebih besar, sekurang-kurangnya 4 orang wakil majikan, 4 orang dilantik sebagai wakil pekerja. Ahli jawatankuasa dicadangkan tidak melebihi 20 orang.  Pakar dari luar juga boleh dilantik menganggotai Jawatankuasa seandai memerlukan penyelesaian masalah-masalah keselamatan dan kesihataan pekerjaan khas.

6.0 Struktur jawatankuasa
Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan berfungsi dengan lebih efektif sekiranya skop aktivitinya tertumpu kepada satu tempat kerja jika dibandingkan dengan jawatankuasa yang bertanggungjawab keatas berbagai-bagai tempat kerja yang terletak di lokasi yang berlainan.  
Pada amnya, adalah tidak perlu untuk majikan melantik lebih dari satu jawatankuasa bagi satu tempat kerja yang berlainan. Walau bagaimanapun bagi tempat yang besar adalah lebih sesuai dilantik jawatankuasa bersama pengurusan-pekerja dengan mekanisma penyelarasan diperlukan dan diwujudkan jawatankuasa penyelaras di peringkat keseluruhan organisasi yang dipengerusi oleh peringkat ketua eksekutif dan dianggotai oleh semua pengerusi jawatankuasa bahagian dan cawangan untuk menyelaras dan membuat keputusan mengenai isu yang dibangkitkan pleh jawatankuasa-jawatankuasa diperingkat bahagian dan cawangan.

7.0 Mesyuarat
Kekerapan mesyuarat bergantung kepada beban kerja yang perlu diselesaikan berdasarkan situasi dan isu keselamatan yang perlu dibincangkan. Dicadangkan mesyuarat diadakan sekali dalam tempoh  tiga bulan. Bagi tempat kerja yang berisiko tinggi seperti kilang, loji pemperosesan atau tapak kerja binaan, mesyuarat perlu diadakan  lebih kerap sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Pada peringkat penubuhan, pihak jawatankuasa perlu menyediakan garis panduan dan perancangan awal bagi  program-program yang akan dilasaknakan serta asas bidang tugas jawatankuasa.  Korum mesyuarat hendaklah ditetapkan pada angka sekurang-kurangnya separuh dari jumlah ahli tidak termasuk pengerusi dan setiausaha. Untuk memastikan tindakan susulan dijalankan minit mesyuarat perlu diedarkan kepada ahli selewat-lewatnya dalam tempoh 2 minggu.  Perjalanan mesyuarat pula hendaklah hanya membincangkan perkara-perkara yang berkaitan isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan sahaja dan tidak menyimpang daripada tujuan asal penubuhan jawatankuasa.  

8.0 Latihan Pendidikan ahli
Ahli jawatankuasa perlu memahami dan mengetahui aspek-aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan terkini bagi membolehkan mereka menjalankan tugas mereka secara berkesan.Latihan dan pendidikan yang dicadangkan adalah seperti berikut:

  1. Kehendak undang-undang yang berkaitan
  2. Standard-standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan
  3. Tatacara pemeriksaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
  4. Tatacara mengenalpasti dan menilai risiko-risiko
  5. Langkah-langkah pengawalan risiko-risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
  6. Tatacara siasatan kemalangan dan menganalisa data
  7. Teknik-teknik komunikasi dan promosi.
Pengetahuan seperti di atas boleh diperolehi melalui seminar, kursus, dan ceramah yang sering kali diadakan oleh pelbagai pihak seperti Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan  dan CIDB.

9.0 Penutup
Jawatankuasa yang aktif dapat membantu majikan dengan berkesan untuk memastikan tempat kerja adalah selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan pekerja-pekerja. Untuk mencapai tahap kerjasama yang berkesan  pihak majikan hendaklan memainkan peranan utama dengan menunjukkan minat melibatkan secara aktif dan memberi publisiti secara meluas kepada semua pihak mengenai program yang dijalankan serta keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa.


Rujukan : MDC Publishers Printers Sdn Bhd. 2002., Occupational Safety and Health Act and Regulations. Kuala Lumpur     


2 comments:

SyUTiNiE said...

waaa.. terima kasih.. Chekgu zaidi. dapat jugak saya pengetahuan tentang welding

Unknown said...

bole saya mengetahui lebih lanjut tentang osha dlam bengkel