BUKA BICARA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Syukur Alhamdulillah dengan limpah kurniaNya, saya dapat berkongsi sedikit pengetahuan berkaitan kejuruteraan kimpalan. Matlamatnya adalah untuk memupuk minat dan kecenderungan anak-anak pelajar di Kolej Vokasional, SMT/V, Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan kemahiran dan pelajar universiti menjadikan bidang kejuruteraan kimpalan sebagai profesion dimasa hadapan. Saya mengambil inisiatif ini memandangkan kesukaran mendapat bahan rujukan berkaitan kejuruteraan kimpalan dalam bahasa Malaysia. Mudahan Sedikit sumbangan ini dapat membantu anda memperoleh pengetahuan, mengetahui dan memahami fakta, konsep/prinsip, terminologi, proses dan prosedur kimpalan. Saya juga mengalu-alukan sumbangan artikel berkaitan serta komen dan ulasan yang membina bagi meningkatkan kualiti artikel yang ditulis di Blog ini.
Terima kasih
chekguzaidi

Wednesday, March 7, 2012

PENGURUSAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN (Bahagian 1)

ELEMEN DAN KOMPENEN PENGURUSAN

     Kejayaan dalam mengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan hanyalah berdasarkan peruntukan kewangan yang banyak dan dokumentasi yang baik ataupun  penyediaan kelengkapan peralatan diri yang serba cangih. Malah kejayaan dan kecemerlangan  pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan diukur berdasarkan jumlah kemalangan yang minima.  Sebagai panduan dalam memastikan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang cemerlang dan berkesan sistem pengurusan disarankan memberi penekanan kepada  beberapa  elemen berikut;
  • Kepimpinan majikan.
  • Pengagihan tanggungjawab
  • Penyenggaraan keadaan tempat kerja dan amalan kerja selamat dan sihat.
  • Latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan
  • Sistem merekodkan kemalangan dan kejadian
  • Sistem kesihataan dan pertolongan cemas
  • Tanggungjawab dan kesedaran pekerja
 Kejayaan dan elemen  pengurusan keselamatan
      Berdasarkan akta 514, majikan adalah golongan yang dikenalpasti sebagai pemilik yang  mewujudkan risiko kemalangan ditempat kerja.  Majikan telah dipertanggungjawabkan dalam aspek pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Oleh yang demikian sewajarnya majikan perlu menjadi contoh yang baik kepada semua pekerjanya melalui  konsep kepimpinan melalui teladan. Pihak majikan merupakan mentor kepada pekerjanya dan perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik dalam amalan keselamatan dan kesihataan pekerjaan. Majikan juga sewajarnya perlu bertekad bahwa pengurusan keselamatan dan kesihatan adalah satu tanggungjawab  yang perlu bagi menjaga kebajikan pekerja-pekerjanya. Kegagalan menguruskan amalan keselamatan dan kesihatan akan mengambarkan kegagalan majikan dalam aspek pengurusan yang lain.  Berdasarkan akta keselamatan dan kesihatan pekerjaan, majikan perlu mempunyai dasar (polisi) kesihatan yang signifikan dinyatakan dengan jelas serta mudah difahami oleh semua pihak. Dasar syarikat berkaitan pemberian tanggungjawab dan persediaan keselamatan perlu dinyatakan secara bertulis agar pekerja tahu hasrat dan halatuju yang diingini dasar tersebut.  Selain itu majikan perlu memberi penerangan serta mempamerkan dasar tersebut dikawasan strategik agar semua pekerja memperoleh maklumat serta memahami hasrat majikan (syarikat).
      Pengurusan keselamatan dan kesihatan memerlukan pengelibatan semua pihak terlibat samada pihak majikan, penyelia,  pekerja atau pelanggan syarikat. Sebagai contoh, pekerja bertanggungjawab menguruskan keselamatan dan kesihatan diri serta tempat kerjanya, penyelia bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihataan pekerja dibawah seliaanya manakala pengurus pula perlu memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja bawahan serta kawasan pengurusanya.            
      Pegawai keselamatan dan kesihatan (Safety and Health Officer) berperanan melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan undang-undang serta bertanggungjawab  memberi nasihat berkaitan keselamatan dan kesihatan kepada pihak lain selain dari majikan. Pegawai Keselamatan dan Kesihatan adalah personel yang kompeten dan berpengetahuan berkaitan hal keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang boleh dijadikan rujukkan jawatankuasa keselamatan, pengurus, penyelia dan pekerja. Pengurusan keselamatan juga mencakupi  penyenggaraan tempat kerja kerana persekitaran tempat kerja yang tidak kondusif dikenalpasti sebagai punca utama kemalangan industri berlaku.  Penyenggaraan tempat kerja yang berterusan sudah tentu akan mengurangkan risiko kemalangan ditempat kerja.
 
Pemeriksa/Audit Keselamatan dan kesihatan
      Pemeriksa/Audit keselamatan dilakukan  untuk mengenalpasti kemungkinan bahaya kemalangan di tempat kerja.  Pemeriksaan yang sistematik dapat meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan dengan memberi kesedaran kepentingan amalan keselamatan dan kesihatan yang baik ditempat kerja. Setiap pemeriksaan hendaklah direkodkan dan diambil tindakkan susulan dengan melakukan penambahbaikan segera bagi memastikan tiada kemalangan yang berlaku.

Penyemakan kejuruteraan
      Setiap kawasan kejuruteraan perlu disemak dan diperiksa setiap masa tanpa menunggu sesuatu kejadian yang tidak diingini  berlaku.  Pengurusan keselamatan dan kesihatan yang cekap tidak akan mengamalkan sikap tunggu dan lihat untuk mengambil tindakan tanpa memikirkan apakah setiap kawalan boleh bertahan tanpa diselenggara dan diuji mengikut sepatutnya.

Peranan Penyelia
    Penyelia merupakan wakil pihak pengurusan di tempat kerja yang paling hampir dan memahami sikap pekerja dibawah seliaanya, peralatan dan bahan yang digunakan serta cara kerja dijalankan  mengikut sepatutnya. Penyelia berperanan mengawasi pekerja supaya mengamalkan tabiat kerja selamat dan mengikut prosedur. 
Gambar hiasan: Pekerja perlu mengamalkan tabiat kerja selamat dengan memakai pelindung keselamatan yang lengkap semasa melakukan kerja berisiko.

Prosedur penerimaan bahan/alat
     Prosedur penerimaan bahan/alat perlu dilakukan dengan mengambilkira soal kesesuaian,  keselamatan dan kesihatan pekerja. Setiap peralatan yang dibeli mestilah memenuhi piawaian keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan agar boleh digunakan dengan selamat.

LATIHAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN
     Akta 514 telah menjelaskan majikan perlu menyediakan latihan keselamatan dan Kesihatan pekerjaan kepada semua pekerjanya termasuk pihak pengurusan, penyelia dan pekerja.  Undang-undang menyatakan dengan jelas keperluan Pegawai dan jawatankuasa keselamatan  dan kesihatan pekerjaan diberi latihan yang berterusan berkaitan tugas dan tanggungjawab  serta memahami undang-undang yang telah sediada.

SISTEM MEREKODKAN KEJADIAN KEMALANGAN
    Setiap kemalangan yang berlaku perlu direkodkan dan disimpan dalam tempoh masa tertentu. Merekodkan kemalangan bertujuan untuk pengawasan samasa peleksanaan mengurus keselamatan ditempat kerja berkesan atau sebaliknya. Seandainya kadar kemalangan adalah masih tinggi ini menunjukkan sistem pengurusan keselamatan  yang lemah dan perlu dilakukan penambahbaikan segera.  Selain maklumat personel, rekod kemalangan mestilah menyatakan maklumat tambahan seperti kawasan kejadian, kumpulan pekerja dan waktu kejadian. Selain mengawas dan mengurus, rekod yang disimpan juga bertujuan untuk menilai keberkesanan latihan yang diberikan kepada pekerja.  Seandai kemalangan masih tinggi ini menunjukkan sistem latihan adalah tidak berkesan atau tidak mengcukupi ataupun penambahbaikan perlu dilakukan pada sistem penyenggaraan, penyemakan kejuruteraan, penerimaan bahan /alat mengikut prosedur yang betul atau  pihak penyelia tidak melakukan perananya.  Penyimpanan rekod pula boleh membantu pihak pengurusan mengukur tahap pencapaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan syarikatnya.

SISTEM KESIHATAN PEKERJAAN DAN BANTUAN KECEMASAN
      Selain pengurusan keselamatan dan kesihatan, pihak majikan juga perlu bersedia menghadapi kemungkinan kemalangan dengan merangka beberapa prosedur bantuan dan pelan kecemasan. Dari aspek kesihatan, pekerja yang sihat berupya malaksanakan kerja seperti yang diharapkan. 
 Majikan sepatutnya mengambil pekerja yang sihat atau terpaksa mengambil risiko yang tinggi jika mengambil dan menempatkan pekerja yang diragui tahap kesihatanya. Majikan perlu tahu penyakit, alahan atau kelemahan pekerja sebelum ditempatkan di kawasan kerja yang sesuai. Seandainya tempat kerja mempunyai risiko penyakit pekerjaan, maka majikan pula perlu mengadakan program pengawasan perubatan sebagai sebahagian dari sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan. Pengesanan keatas kebersihan tempat kerja juga sebahagian dari tindakan kecemasan.  Kebersihan dan kekemasan tempat kerja boleh menjamin tiada penyakit pekerjaan.  Langkah yang paling penting ialah majikan perlu menyediakan Pelan Tindakan Kemalangan yang menyatakan secara jelas tindakan yang akan dilakukan sekiranya berlaku kemalangan atau bencana. Sebagai contoh jika kebakaran terjadi siapa yang perlu menghubungi pihak Bomba dan penyelamat, Ambulans, Polis dan pegawai yang bertanggung jawab ditempat kerja. Perlu juga ditentukan dengan jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh pekerja sekiranya berlaku bencana.

TANGGUNGJAWAB PEKERJA
     Akta 514 menjelaskan juga tanggungjawab orang yang sedang bekerja membantu majikan dalam mengurangkan risiko kemalangan industri ditempat kerja. Antara tanggungjawab pekerja ialah mengikuti latihan berkaitan keselamatan supaya menyedari peranan masing-masing dalam mengurangkan kemalangan. Latihan berkaitan keselamatan banyak dianjurkan oleh badan kerajaan dan bukan kerajaan  seperti NIOSH, CIDB dan belbagai agensi swasta bagi meningkatkan kesedaran pekerja dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. CIDB adalah salah satu agensi yang mengadakan latihan seumpamanya, Pekerja yang telah dilatih diberikan pengiktirafan dengan mengurniakan Kad Hijau (Green Card). Pemegang kad Hijau dilindungi insuran  selama setahun dan boleh diperbaharui pada tahun berikutnya dengan kos yang amat rendah. Pekerja berperanan mengurangkan risiko kemalangan dengan  mematuhi undang-undang dan peraturan tempat kerja. Dengan peranan yang diberikan majikan pekerja akan merasa dihargai dan dipandang tinggi oleh pihak majikan.
Gambar hiasan: Green Card yang  dikeluarkan oleh CIDB 


PENUTUP
Pada dasarnya pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah untuk mengurangkan risiko kemalangan industri ditempat kerja.  Pengurusan yang sistematik akan menjamin keadaan tempat kerja adalah selamat dan sihat.  "Kami mengamalkan tabiat kerja yang selamat dan sihat". 

Rujukan: 2002.Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Peraturan-peraturanya.Kuala Lumpur.MDC Publishers Printers Sdn. Bhd.        
2002.Factories and Machinery Act & Regulations.Kuala Lumpur.MDC Publisher Printers.Sdn.Bhd.

1 comment:

RR said...

Terima kasih di atas perkongsian maklumat.