BICARA KATA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Syukur Alhamdulillah dengan limpah kurniaNya, saya dapat berkongsi sedikit pengetahuan berkaitan kejuruteraan kimpalan. Matlamatnya adalah untuk memupuk minat dan kecenderungan anak-anak pelajar di Kolej Vokasional, SMT/V, Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Latihan kemahiran dan pelajar universiti menjadikan bidang kejuruteraan kimpalan sebagai profesion dimasa hadapan. Saya mengambil inisiatif ini memandangkan kesukaran mendapat bahan rujukan berkaitan kejuruteraan kimpalan dalam bahasa Malaysia. Mudahan Sedikit sumbangan ini dapat membantu anda memperoleh pengetahuan, mengetahui dan memahami fakta, konsep/prinsip, terminologi, proses dan prosedur kimpalan. Saya juga mengalu-alukan sumbangan artikel berkaitan serta komen dan ulasan yang membina bagi meningkatkan kualiti artikel yang ditulis di Blog ini.
Terima kasih
chekguzaidi

Thursday, June 30, 2011

Sifat Fizikal dan Sifat Mekanik Logam - Takrifannya

     Menentukan sifat logam merupakan faktor  penting yang perlu diambil kira dalam pemilihan bahan kejuruteraan sebelum merekabentuk sesuatu produk atau struktur bangunan. Sifat fizikal logam ialah keberaliran haba, keberaliran elektrik dan takat lebur.  Sifat mekanik logam pula adalah keupayaan struktur logam untuk berubah apabila dikenakan daya atau beban keatasnya.

A.   Sifat Fizikal Logam dan Takrifanya
1.     Keberaliran haba.
Sifat keberaliran haba ialah sifat bahan logam atau bukan logam yang membolehkan haba melaluinya. Contoh logam yang mempunyai sifat keberaliran haba yang baik ialah kuprum dan aluminium.
2.    Keberaliran elektrik.
Sifat keberaliran elektrik merujuk kepada sifat sesuatu bahan yang membenarkan pengaliran elektrik melaluinya. Contoh pengalir elektrik yang baik ialah kuprum, aluminium, timah dan  keluli.
3.   Takat lebur 
Takat lebur ialah had suhu maksimum sesuatu bahan pepejal sebelum menjadi cair apabila dikenakan haba yang tinggi. Takat lebur setiap bahan adalah berbeza bergantung pada jenis  dan kandungan bahan yang terdapat didalamnya.

B.   Sifat Mekanik Logam Dan Takrifanya
 -  Kemuluran
Sifat kemuluran
Keupayaan logam diregangkan tanpa putus. Contoh produk yang mempunyai sifat mulur ialah rod dan dawai keluli lembut.
Sifat kemuluran diuji menggunakan mesin ujian  tegangan
 - Ketempaan
Merujuk kepada sifat logam yang mudah dibentuk tanpa retak atau pecah. Contoh produk 
bersifat ketempaan ialah rivet dan kepala alat pematri lembut. Sifat ketempaan diuji menggunakan mesin ujian tegangan.
- Kerapuhan
Merujuk kepada sifat logam yang mudah retak atau pecah apabila dikenakan daya hentaman ke atasnya. Contoh produk yang bersifat kerapuhan ialah kerangka mesin yang diperbuat dari besi tuang kelabu.  Sifat kerapuhan diuji menggunakan mesin penguji charpy.
Gambar foto: Mesin Ujian Charpy digunakan untuk menguji kekuatan logam.
 
Kekerasan
merujuk kepada sifat bahan yang boleh menahan haus, perubahan bentuk, tusukan dan lelasan. 
Contoh produk ialah mata alat pemotong, roda dan rail keretapi  serta bahagian mesin yang bergesel. Sifat kekerasan diuji menggunakan mesin penguji Brinnel, Rockwell atau Vikers 
- Keplastikan
Merujuk kepada sifat logam yang boleh dibentuk secara kekal tanpa retak atau pecah.  Digunakan dalam kerja tekanan dan tarikan. Contoh  produk bersifat keplastikan  ialah bahagian  badan kenderaan, salur air, atap keluli dan sebagainya. Tiada mesin ujian khas digunakan untuk  menguji sifat keplastikan

Gambar foto: Mesin Ujian Rockwell
- Keanjalan
Sifat logam yang boleh kembali semula kepada bentuk asal selepas dikenakan daya atau beban. Digunakan untuk membuat pegas.Contoh produk ialah  pegas berlapis dan pegas bergelung. Sifat keanjalan  diuji menggunakan mesin ujian tegangan

Sifat Keanjalan
Gambar foto:  Mesin Ujian Tegangan
Sifat kelasakan

 - Kelasakan
Merujuk kepada sifat logam yang boleh menahan daya atau beban kejut tanpa berubah bentuk. Digunakan dalam membuat kerja beban tinggi. Contoh produk bersifat kelasakan  ialah takal, pencangkuk kren. Sifat kelasakan diuji mengguankan mesin ujian tegangan.


Rujukan: Modul Kimpalan arka MPAV

No comments: